Suatu
ketika aku dan kau punya kisah untuk dicerita. Saat seperti itu aku tunggu di
dalam rumah keagunganNya. Kau dan aku petah berkata-kata, itu ini bagaikan
tiada penghujungnya. Seketika kita ketawa, bagaikan hari-hari kita indah dan
cerah. Tiada sesiapa mampu menandingi kisah kita berdua sehinggakan ada mata
yang dengki melihat keakraban kita. Aku tunggu sampai kau datang jua, begitulah
hari-hari berlalu saat kita masih mesra berdua. Apa alasanmu melambung aku
tinggi di awan sehingga saat aku jatuh sangat perit aku rasakan. Di mana janji
setia bak isi dan kuku dahulu? Di mana Jauhari yang mengenal Manikam dahulu? Di
mana? Di mana?
Jauh
aku merantau, jauh aku pergi. Jika tidak memuaskan hati, aku berlari, tersadung
di sana sini. Aku buang derita aku, tujuan aku hanya satu, mencari kembali apa
yang kita ada dahulu. Aku buang rasa sakitku, aku gagahi juga walau lelah,
walau payah walau kadang-kadang aku hilang arah. aku cuba selidiki, apa salahku
sehingga kita terpaksa berjauhan begini, aku dan kau tidak bertemu kulit lagi.
Aku dan kau tidak pernah melihat bayang-bayang lagi.
Saat indah kita, aku usahakan agar kau gembira, cerita
suka, cerita ‘duka’, aku setia mendengar. Saat dirimu tersepit aku sanggup
gadaikan apa yang aku ada, aku sanggup kehilangan apa-apa, aku sanggup tidak
dikenali siapa-siapa kerana mengharapkan kau mendapat yang terbaik dariku. Walau
sepatah masalahku tidak aku suarakan padamu kerana aku tidak mahu
membebankanmu. Aku simpan dilubuk hati, aku pendam sendiri. Semuanya kerana
kau, kau sahabat yang ku kasihi.
Sekarang aku mengerti, mungkin aku terlupa dengan ujian
Illahi. Kau pergi, aku sendiri di sini. Aku cuba singkapi, apa maksud semua
ini? Ya, semua yang pernah kita lalui. Aku, kau dan kisah kita. Walau kau punya
teman setia baru, mungkin nanti saatnya kau rindukan kesetiaanku. Tika itu,
jika kau mencari aku, aku tetap di sini, aku masih orang yang pernah kau
kenali, aku masih seperti dulu, aku setia menunggu kelibatmu. Cuma satu
pertanyaanku, apa alasanmu bersahabat denganku?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan