Sabtu, 23 Februari 2013

KALAU DAH CUKUP, MAKA CUKUPLAH


Suatu ketika aku disapa oleh seseorang yang punya masalah peribadi. Dirinya tidak ku kenali tetapi diriku dikenali sebagai pendengar masalah paling setia. Dia mulakan bicara dengan penuh sayu, matanya yang layu sungguh menyayatkan hatiku. Ku kuatkan hati, tabah mendengar apa yang berona dihatinya. Setelah kuamati aku punya satu penyelesaian buat dia.
          Katanya dia berketurunan tidak berada, ayahnya cuma seorang penoreh getah, ibunya pula suri rumah. Bicaranya dari awal sudah menunjukkan dia punya pandangan tersendiri terhadap keadaan keluarganya. Katanya lagi, ketika hujan, semua adik beradik akan berlari mendapatkan bekas besar, baldi mahupun gayung. Air hujan yang turun mencurah dari lubang-lubang kecil atap rumah membuatkan banyak bekas yang diperlukan.
          Katanya lagi, sekiranya ayah lagi menoreh dan bukan minggu ayah jual hasil getahnya, maka mereka sekeluarga akan makan hanya ikan kering, sayurnya dikutip di tepi kawasan rumah. Kadang-kadang hanya berlaukkan kepala ikan sahaja, itupun yang kemarin punya. Katanya lagi, pakaian mereka hanya apa adanya. Ayah mereka sangat ‘kedekut’ untuk belanjakan wang. Dia dan adik-adik semakin menganggap ayahnya tangkai jering.
          Katanya lagi, tidur hanya di atas lantai berlapikkan tikar mengkuang. Tidurnya pula tiada ‘privacy’ diluar saja bersama yang lain.
          Aku mendengar penuh setia, hanya kadang-kadang aku mengangguk tanda aku tidak lalai dengan duniaku, seketika aku ubah posisi, ke kiri ke kanan bagi membetulkan tulang-tulang dan urat-uratku agar tidak tersepit untuk bekerja. Usai dia habis cerita, aku mulakan bicaraku dengan nada yang sederhana.



          Kataku, “Alhamdulillah”.. dia bertuah kerana masih ada segala-galanya. Masih ada ayah, masih punya ibu dan dimeriahkan pula dengan adik beradik. Dia bertuah… kataku, walaupun rumah dia bocor, lauk dia hanya ikan kering, ayah dia cuma penoreh getah, ibu dia cuma suri rumah, ayah dia tangkai jering, tidur dia hanya di mengkuang kering tetapi aku yakin kalau dia ada iman pasti dia akan gembira dengan kehidupan.
          Sahabat…. Apa bedanya kau dan aku?? Hanya satu, tiada beribu, hanya IMANmu dan IMANku. Kalau rumah bocor itu dihuni penghuni yang beriman, pasti akan dirasakan indah. Kalau ikan kering itu dimakan orang beriman, pasti akan menjadi ikan yang paling sedap, kalau lantai itu ditiduri oleh orang yang beriman, pasti itulah tempat paling indah dalam kehidupan. Kalaulah ayah itu ayah kepada orang beriman, pasti anaknyalah orang yang paling bahagia punya ayah yang penyayang.. rumah tanpa Islam, itulah rumah paling miskin..fikir-fikirkanlah sahabat..