Dalam fiqh 'Ala Al-Madzahib Al-Arba'ah ada disebutkan 'suara perempuan bukanlah aurat, kerana isteri-isteri Nabi SAW pun berbicara dengan para sahabat baginda. Namun demikian mendengarkan suara wanita tetaplah haram jika dikhawatirkan boleh tergoda kerananya sekalipun suara itu didengar ketika membaca al-Quran.
Suatu ketika seorang wanita menghadap Amirul Mukminin Umar bin Al Khattab ketika beliau hendak menghadkan mahar baginya, maka dibaca surah An-nisa' ayat 20. Seketika berkatalah Umar Al-Khattab rahimahullah 'benarlah wanita dan dan Umar keliru'.
Andai suara wanita itu aurat maka pastilah Amirul Mukminin mencegah dia membaca sesuatu.
Jadi jelaslah suara wanita itu bukan aurat. TETAPI sungguhpun begitu jika ada seorang wanita dengan suaranya hendak membangkitkan nafsu lelaki terhadapnya, dengan melembutkan dan melemah gemalaikan; atau suara yang lemah yang boleh membangkitkan gejolak lelaki. Menyedari akan hal itu kemudian wanita itu semakinmenjadi-jadi maka perbuatan seperti itu terlarang. Dalilnya surah al-Ahzab ayat 32
"Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang (menyimpan) penyakit dalam hatinya"
Rujukan : Ibrahim Muhammad Al-Jamal,فقه المرءة المسلمة.
'Cintailah sesuatu itu sekadar cuma-kemungkinan ia akan menjadi kebencianmu, Bencilah sesuatu itu sekadar cuma-kemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu.
Khamis, 23 Mei 2013
Jumaat, 29 Mac 2013
Jagalah adab 1
Maryam pelajar jurusan
undang-undang di salah sebuah universiti tempatan, beliau merupakan pelajar
yang rajin mencedok ilmu di mana sahaja. Walaupun bergelar pelajar
undang-undang tetapi beliau sentiasa memerhatikan surau-surau yang melakukan
aktiviti lebih-lebih lagi aktiviti yang bersifat perkongsian ilmu mahupun
pembelajaran.
Suatu hari, Maryam melalui
lorong kaki lima berhampiran surau Ibn Batuta. Dia membesarkan telinga bagi
mendengar kalau-kalau ada sesiapa yang mengisi masa kosong di antara maghrib
dan isyak di surau berkenaan. Dia terdengar jelas suara yang sedang
membincangkan berkaitan feqah wanita. Lalu Maryam mengambil kesempatan tersebut
untuk berada sekali di dalam majlis berkenaan.
Maryam mencuit bahu salah
seorang jemaah yang sedang khusyuk mendengar perkongsian ilmu tersebut. Dia
menanyakan berkenaan siapakah gerangan yang sedang berceramah itu. ‘ustazah
Linda,’ jawab jemaah tersebut ringkas. Maryam terus mendengar dengan teliti
ilmu yang disampaikan sehingga dia tertarik akan percakapan ustazah berkenaan
air mani wanita. ‘eh, aku pernah baca menurut kajian doktor terbaru, wanita
tiada air mani?’, Maryam mengeluh sambil tangan menggaru kepalanya yang tidak
gatal itu.
Setelah selesai
perkongsian, sesi soal jawab dimulakan. Maryam mengambil kesempatan untuk
bertanya berkenaan kemusykilannya. Maryam mengangkat tangan sambil membaca
bismillah dia meneruskan persoalan setelah mendapat keizinan untuk bertanya.
Maryam : Maaf ustazah, saya
ada sedikit kemusykilan. Saya ada membaca buku, menurut kajian terbaru, wanita
tiada air mani. Hujahnya (sini)
Maryam memberikan hujah
yang sempat dibaca beberapa hari yang lepas berkaitan hal tersebut. Lalu dengan
secara spontan dan tidak menghiraukan sesiapa ustazah tersebut menjawab :-
Ustazah : ni mesti tak
datang kelas minggu lepas kan? Kan dah dibincangkan minggu lepas, takkan
ustazah nak ulang lagi minggu ini. Kalau nak datang majlis ilmu tu biar
konsisten.
Maryam tertunduk diam, malu
dan sakit hati. Hujahnya bagaikan pelajar kedoktoran tadi sedikit demi sedikit
menghilang daripada dirinya. ustazah tersebut terus menanyakan kepada yang
lainnya sekiranya ada soalan yang mahu dikemukakan. Maryam terus mendiamkan
diri dan hanya mendengar sambil menundukkan kepala. Maryam yang tadinya penuh
dengan soalan terus hilang bagaikan tin kosong. Wajah Maryam kelihatan
kemerahan dek kerana kulitnya yang putih. Terdiamnya Maryam akan kata-kata
ustazah berkenaan sehinggalah majlis tersebut selesai.
Moral : jagalah adab
walaupun siapa diri kita ‘Budi Bahasa Budaya Kita’
Khamis, 28 Mac 2013
Usaha mencari jodoh
“Ah, apa cari jodoh? Malu
lah saya. Sayakan perempuan, mana mungkin saya mahu cari teruna buat diri saya.
Malunya…”
“tak nak la, malu kot,
entah-entah nanti aku yang perasan sendiri, aku kan perempuan, biar aja si
lelaki yang mencari aku”..
Mungkin inilah rasanya kata-kata sahabat Muslimah cantik
yang mahu menjaga maruah diri (pendapat mereka la) tapi bagi penulis, jodoh itu
memang rahsia Allah, dan jodoh juga Allah sudah tetapkan, tetapi apakah salah
seandainya seorang insan bernama perempuan mahukan yang terbaik buat dirinya?
Siapa mahu suami penagih dadah? Siapa mahu suami tidak bekerja? Siapa mahu
suami yang pentingkan diri sendiri?
Muslimah yang cantik….
Tidak salah kalau kamu mahu mencari yang terbaik buat dirimu. Tidak salah juga
jika mahu meminang dia untukmu. Tidak ingatkah kamu kisah saat Saidatina
Khadijah melamar Rasulullah, seorang insan mulia yang tiada tandingannya dengan
suami yang kamu dambakan sekarang. Siapa yang dipinang itu? Kekasih Allah,
kekasih hati kita juga.
Muslimin yang
hensem….salahkah kami meminangmu bagi diri kami? Salahkah kami dambakan agamamu
menjadi pilihan hati kami? Salahkah kami mahukan perlindungan dari kegagahan
dirimu mempertahankan agamamu? Salahkah?
Muslimah yang manis… tidak
salah wahai sahabatku. Sekiranya sudah kamu redha akan agamanya, akhlaknya maka
pinanglah dia buat dirimu, agar dirimu tidak menyesali seandainya Muslimin itu
sudah dipinang Muslimah lainnya.
Tapi….. gimana caranya?
Begini… mintalah khidmat
orang tengahmu, mungkin kakak, ustazah, sahabat baik untuk menanyakan perihal
pria itu. Tetapkan bahawa kamu hanya bertanya, jangan diceritakan siapa dirimu,
agar nanti kalau pria itu sudah berpunya, kamu tidak malu untuk berjumpa
dengannya kerana kamu tidak memperkenalkan dirimu dahulu. Begitu juga, jika dia
pria yang bijak, tidak akan dia menanyakan siapa yang bertanya saat dirisik
itu, hanya yang perlu dijawabnya sudah berpunya atau belum. Sekiranya belum
berpunya, barulah mulakan perkenalan kamu dan dia.
Tidak semestinya, kamu dan
dia memang jodoh, mungkin juga saat perkenalan ada perkara yang tidak
menyenangkan hati mana-mana pihak makanya perhubungan tidak berpanjangan. Saat
perkenalan itu, penulis sarankan agar dititipkan biodata buat diri yang ingin
menjadi pasangan itu. Mungkin sedikit perkongsian apa yang perlu ditulis di
dalam biodata tersebut.
Perkara biasa
tentang diri cth nama, nama ayah/ibu
Pekerjaan ayah dan
ibu
Sedikit perihal
tentang adik-beradik cth nama dan pekerjaan
Berat/tinggi
Hobi
Minat
Falsafah hidup
Kelulusan
Ciri-ciri suami/isteri yang
dicari
Cita-cita
Matlamat bersama pasangan
Kemahiran
Sikap
Ini bagi memudahkan
pasangan meneliti dan membuat kira-kira berkenaan dengan latar belakang
pasangannya.
Bagi penulis, tiada istilah
perigi mencari timba, kerana kedua-duanya bergantungan antara satu sama lain.
Allah tidak melihat apakah usaha kamu berhasil atau tidak tetapi Allah akan
melihat kepada adakah kamu berusaha….
~semoga dipermudahkan
urusan~
Si hijau dan si merah jambu
Faris bergegas menuju ke
bilik ustaz Arman meminta tolong akan satu hal. Warna merah jambu sudah
benar-benar memikat hatinya. Faris tidak tahu mengapa dia terus berperasaan
sedemikian walaupun hanya sekali pandang.
Faris :Assalamualaikum ust,
boleh ana masuk?
Ustaz :
Waalaikumussalam,bleh, masuk la.
Faris : Ustaz sibuk tak?
Ana ada hal nak bincang dengan ustaz.
Ustaz : Kejap ust tengok
jadual…….. ermm…. Tak da, ust free sampai jam 12. Ada apa hal kamu nak jumpa
ust ni. Kamu tu kalau tak ada yang penting bayang-bayang kamu pun tidak nampak.
Faris : hehehe ust, ana ada
hal ni, tapi ana malu la nak cakap dengan ustaz.
Ustaz : Akhawat mana yang
enta dah berkenan ni?
‘ish, tahu pula ust ni,
macam tahu-tahu ja apa yang aku fikirkan’, bisik Faris di dalam hati.
Ustaz : Dah kamu ni kenapa
diam saja, betul ka apa yang ustaz cakap tu?
Faris : er….er.. betul
ustaz, ana memang tak pernah rasa macam ni ustaz, ana rasa macam dia jodoh ana
ustaz.
Ustaz : betul la ana teka
tadi kan. Kenapa nak malu? Semua orang nak kahwin. Kalau rasa dah mampu, apa
tunggu lagi, binalah masjid. Siapa akhawat tu?
Faris : Ana tak tahu nama
dia ustaz, yang ana tahu, akhawat tu suka pakai baju yang berwarna ungu dan
bertudung merah jambu.
Ustaz : ish kamu ni syeikh,
berapa banyak pelajar dekat universiti ni, macam mana ustaz nak risik dia untuk
kamu. Ok..ok.. akhawat tu kos apa?
Faris : maaf ustaz, ana tak
tahu juga. Orangnya tinggi-tinggi, kulitnya tidak cerah dan tidak gelap,
biasa-biasa saja.
Ustaz : lagi susah kerja
ustaz, tapi InsyaAllah, ana buat istikoroh dulu. Nanti kalau ada apa-apa ana
bagitahu enta semula ok. Enta jangan pula senyap saja, cari juga perkara lain
yang berkaitan akhawat tersebut, nanti senang kerja ustaz.
~ di bilik sebelah, seorang
akhawat sedang bercakap-cakap dengan ustazah Hayati~
Ustazah : enti tak tahu
nama dia?
Akhawat : tidak ustazah,
Cuma yang ana tahu, pertama kali ana jumpa dengan dia, dia memakai jubah hijau
berkopiah hitam.
Ustazah : enti ni ada-ada
saja. Berapa ramai pelajar universiti ini yang pakai macam itu. Enti cari kenal
dulu siapa dia, kos apa, tahun berapa baru enti datang jumpa ustazah ya. Ustazah
pun tidak tahu mahu bantu bagaimana.
Akhawat : baiklah ustazah,
nanti ana usahakan. Ustazah doakan ana ya.
Ustazah : Insya-Allah..
Saliana berlalu dari bilik
berkenaan dengan meninggkan harapan terkubur di situ. ‘mungkin tiada jodoh’,
keluh Lina.
~Seminggu kemudian….
Lina melewati bilik-bilik
pensyarah yang tersusun berderetan di sebuah bangunan lama, matanya meliar
mencari bilik pensyarah subjek Antropologi Dakwah yang bernama ustaz Arman.
‘Nah, di sini rupanya bilik
ustaz, sudah lama aku mencarinya. Awal dahulu katanya di blok B, sudah itu di
blok Ali, akhirnya aku jumpa di sini. Jauh benar bilik ustaz’, keluh Lina di
dalam hati..
Ustaz Arman sibuk
memikirkan berkenaan jodoh kepada anak murid kesayangannya itu, walaupun sudah
dilakukan istikhoroh tetapi tetap juga ustaz buntu. Mana mungkin dapat
mencarinya di dalam kawasan yang besar ni.
Tuk…tuk…tuk..
Ustaz : masuk
Lina : Assalamualaikum,
ustaz, maaf ganggu. Ana Nor Saliana pelajar dakwah semester lima, ana pelajar
subjek Antropologi Dakwah ustaz.
Lina sempat memperkenalkan
diri sambil tangan menarik kerusi yang disediakan untuknya duduk. Ustaz Arman
tergamam kerana apa yang dilihatnya adalah sosok tubuh yang mengenakan jubah
arab berwarna ungu dan bertudung merah jambu.
‘Apakah pelajar ini empunya
badan yang si Faris ceritakan, mungkin juga ini petunjuk dari Allah, aku mesti
mengambil kesempatan untuk menanyakan dia berkenaan baju tersebut’, ustaz Arman
bermonolog sendirian.
Lina : Ustaz….ustaz…
Ustaz : eh, maaf-maaf ana
tengah fikir tentang tugasan pelajar tadi. Apa yang enti cakapkan tadi?
Lina : Ana jumpa ustaz ni,
ana mahukan sedikit pencerahan dari ustaz berkenaan tajuk yang kedua ustaz
terangkan. Ana tidak faham tentang aplikasi yang buku tunjukkan.
Ustaz : Enti selalu pakai
baju warna ni?
‘ish, ustaz ni, kita yang
bertanya, lain benar jawapan dari ustaz, pertanyaan juga?’, Lina berbisik di
dalam hati.. Bagi meraikan ustaz yang dikasihi, Lina menolak ke tepi tentang
hajatnya ke bilik ustaz, malah cuba menjawab apa yang ditanya.
Lina : ish, tak la ustaz,
ana ikut ja, kalau ana rasa nak pakai baju ni ana pakai kalau rasa nak pakai
baju lain ana pakai juga. Tidaklah selalu ana pakai baju ini, malah tidak ada
hari yang ana tetapkan pun. Eh, ustaz ni kenapa tiba-tiba bertanya berkenaan
pakaian ana.
Ustaz : owh tidak ada
apa-apa, ana ingat mahu belikan hadiah jubah untuk isteri ana sempena hari
jadinya.
Lina : oo, isteri ustaz tu
tinggi mana? Gemuk ka kurus? Sebab ana ada tahu satu kedai ni yang menjual
jubah yang bersaiz sampai xxxxxl tu. Kalau yang tak xxxxxl lagi banyak la
ustaz. Kalau ustaz nak, nanti ana tolong tanyakan.
Ustaz : ok la, nanti kalau
ana sudah membuat keputusan ana bagitahu enti. Apa yang enti nak tanya tadi?
Lina meneruskan perbualan
bersama ustaz Arman berkenaan dengan pembelajaran yang tidak difahaminya. Dalam
pada masa itu juga ustaz Arman terus memikirnya dan hatinya kuat mengatakan
bahawa akhawat inilah yang dimaksudkan oleh Faris tempoh hari.
Dua minggu kemudian
*Tut..tut..
1 mesej diterima
Salam, Lina, ustaz nak kamu
datang bilik ustaz sekarang kerana ada hal yang ustaz perlu bincangkan dengan
kamu..
‘wah, ust mesti nak
kongsikan ilmu dengan aku, alang-alang aku juga ada soalan kepada ustaz kerana
tidak sempat menanyakan di dalam kelas tempoh hari’, kumat kumit mulut lina
menyebutkan syukur kepada Allah kerana dia berkesempatan lagi berjumpa dan
berbincang dengan ustaz yang hebat itu.
w.salam,baik ustaz, bagi
ana 10 minit untuk ke bilik ustaz.
*Mesej dihantar
~Di bilik ustaz Arman~
‘eh, ada orang dalam bilik
ustaz, tak apa la mungkin ada pelajar yang sedang jumpa ustaz, aku tunggu di
luar sahaja’, kata Lina sendirian.
Salam, ustaz ada tetamu ya,
ana tunggu di luar ya.
*mesej dihantar
Ustaz : Saliana, masuk…
‘eh ustaz ni panggil aku
macam tu saja, kan ada Muslimin di dalam bilik ustaz, tapi tak apa la mungkin
ustaz mahu jumpa sebentar sahaja dengan aku’, jawab Lina dalam hati.
Pintu kamar ustaz dibuka
dan kelihatan seorang Muslimin sedang tunduk bagaikan mahu sujud ke bawah.
Kopiah yang dipakainya bagaikan mahu tertanggal dari kepala dek kerana terlalu
menunduk.
‘kenapa dengan Muslimin tu,
macam mahu sujud sahaja’, getus Lina di dalam hati
Ustaz : syeikh, tolong
tarik kerusi tu, bagi akhawat tu duduk.
Faris : baik ustaz.
Faris tidak mengangkat
mukanya walaupun sekali, menunduk sahaja..tubuh Faris yang agak kurus
menampakkan urat-urat tangannya timbul saat menarik kerusi untuk Lina.
‘kesiannya Muslimin ni, tidak makankah dia’, tersenyum Lina akan kata-kata
dirinya.
Ustaz : Duduk Saliana.
Lina : Syukran ustaz.
Ustaz : Kita buka majlis
dengan Fatihah
Sambil membaca al-fatihah
sebagai pembuka majlis, Lina sempat menanyakan dirinya ‘kenapa perlu buka
majlis bagai ni, biasanya ustaz tidak begini’……
‘malunya aku kalau ternyata dia sudah
berpunya, Allah, teguhkan hatiku untuk membina masjidmu. Aku fikir ustaz mahu
bertanya kepadaku akan maklumat yang telah aku kumpul, tetapi ustaz sudah ada
kejutan besar buatku’, keluh Faris di dalam hati.
Ustaz Arman menceritakan
segala-galanya kepada Lina akan hasrat hati Faris mahu menjadikan mereka berdua
halal bersama.
Ustaz : Faris, betulkah
pilihan ustaz ini? Ustaz hanya ikutkan gerak hati ustaz, ustaz rasa dia yang
kamu maksudkan dahulu. Cuba kamu lihat dia, ustaz izinkan. Kalau bukan dia,
tidak mengapalah.
‘aku perlu buat muka macam
mana ya? Tidak pernah aku dipinang begini, ok-ok aku buat muka ayu la kan’,
Lina bercakap sendirian.
Faris mengangkat mukanya
lalu memandang Saliana, mata mereka bertemu, bagaikan panahan halilintar yang
sangat dahsyat, dia kemudiannya kembali menunduk sambil kepalanya mengangguk
memberi isyarat benar akan pilihan ustaz itu. Saliana beristighfar di dalam hati
sambil terlintas di hatinya ‘si baju hijau’. Rupa-rupanya mereka mempunyai
perasaan yang sama sejak kali pertama mereka berjumpa di hadapan rumah Allah.
Saat itu Saliana baru sahaja habis kelas dan bergegas ke surau, sama juga
keadaannya dengan Faris.
Kedua-dua mereka bersetuju
dan senang akan diri masing-masing.Selesai perbincangan ustaz memberikan
nasihat yang amat mereka perlukan saat itu..
Ustaz : nak bermesej tidak
salah, tetapi hadkan mesej kamu dengan hanya perkara-perkara yang tidak
melalaikan. Contohnya, kamu mesej mahu menanyakan khabar tidak salah di dalam
Islam. Mesej bincangkan sesuatu yang musykil dan tidak kamu fahami tidak salah,
tetapi jangan sertakan nafsu kamu sekali ketika kamu bermesej. Ustaz harap
cepat-cepatkanlah majlis nikah kamu ini ya.
~Sebulan kemudian~
Walimatulurus
Faris Farihin & Nur Saliana
Khamis, 21 Mac 2013
KALAU IKUTKAN HATI….mati!!
Lagi
seminggu ustaz di sekolah lama Ain belajar akan mengadakan jamuan makan di
rumahnya yang mana dirancang sendiri oleh alumni sekolah tersebut. Ain juga
merupakan salah seorang ajk yang menguruskan perihal majlis berkenaan. Rumah
guru berkenaan berada di kawasan terpencil yang jauh ke pendalaman. Ain
berhasrat mahu memberitahu ibunya akan perancangan yang telah dipersetujui oleh
semua alumni. Rumah guru berkenaan dipilih kerana kawasan rumahnya yang agak pendalaman
menimbulkan suasana nyaman dan jauh dari kepesatan pembangunan.
Ain berbual-bual dengan ibunya
berkenaan majlis berkenaan bagi meminta izin menghadiri majlis tersebut.
Ain:
‘ibu, hujung minggu ni ada jamuan makan di rumah ust Mahmud, boleh Ain pergi?’.
Ibu:
‘owh rumah ust Mahmud, pergi la, ibu x kisah, tetapi minta izin ayah kamu
dahulu’.
Ain:
‘dah. Ain dah minta izin kat ayah, ayah ok ja. Tapi kan bu, dekat kawasan rumah
ust tu tak ada line, kalau ibu nak telefon Ain, Ain takut tak dapat ja’.
Ibu:
‘owh, ya ka’. Tak apa, kamu pergi ja k’.
Ain tersenyum gembira dengan keizinan
yang diberikan ibunya.
Pada
hari kejadian, Ain dijemput sahabatnya dengan menaiki kereta untuk ke majlis jamuan
tersebut. Ain dijemput kira-kira jam 4 petang, dan mereka terus bergegas ke
rumah ust berkenaan kerana janjinya selepas zohor. Sesampai di rumah ust
berkenaan mereka perlu memasak sendiri dan memang itu perancangan mereka.
Mereka mahu majlis itu lebih meriah dengan bergotong-royong memasak. Sesi masak
memasak siap tepat jam 7 petang dan mereka terus solat berjemaah di surau yang
dibina bersebelahan rumah ust berkenaan.
Usai solat maghrib, ust mengambil
kesempatan untuk memberikan sedikit nasihat kepada bekas pelajar yang
masing-masing sudah ada dunia yang tersendiri. Ada yang di dunia kampus, ada
yang di alam pekerjaan dan ada juga yang sudah mendirikan rumah tangga. Ain dan
sahabat lain mendengar penuh teliti apa yang disampaikan oleh ust mereka.
Walaupun singkat ucapannya tetapi isi yang diutarakan sangat menusuk ke dalam
hati setiap yang mendengar.
Majlis jamuan makan bermula setelah
siap ust memberikan nasihat kepada anak muridnya. Majlis tersebut berterusan
sehingga jam 9.30 malam. Ain dan sahabat-sahabatnya siap untuk pulang. Setelah bersalam-salaman
mereka meninggalkan rumah tersebut dan menuju ke destinasi masing-masing.
Setelah 15 minit perjalanan,telefon ain berbunyi, Ain tergesa-gesa
mengangkatnya.
Ain:
‘Assalamualaikum’.
Ayah:
‘Waalaikumussalam, kamu ke mana saja Ain?, ayah telefon dari tadi tidak dapat?,
kamu tahu tak ayah dan ibu di rumah ni risaukan kamu? Kamu seorang ja anak
perempuan terakhir ayah, kalau apa-apa jadi macam mana?’.
Ain:
‘ayah, kan Ain dah minta izin ayah nak ke rumah ust sebab ada jamuan. Ayah kan
dah izinkan, kalau ayah tak mahu Ain pergi jangan izinkan Ain pergi’. Ain
mengawal suaranya yang sedang marah, mukanya merah padam, hatinya terbakar.
‘Masakan ayah sendiri tidak percaya pada anak’, getus hati Ain.
Ayah:
Ya ayah benarkan tetapi kamu kata sekejap saja, ini sampai malam, cepat
balik!!’.
Telefon
dimatikan oleh ayahnya. Ain tahu pasti ayahnya sedang marah dan ketika itu juga
Ain sangat kecewa dengan perbuatan ayahnya. Baki 15 minit perjalanan lagi
menjadi sepi tanpa ada suara Ain berbicara. Hatinya panas, marahnya meningkat,
otaknya hanya memikirkan apabila pulang nanti dia akan bertekak dengan ayahnya
disebabkan kejadian tadi.
Baki
perjalanan lima minit, Ain tersedar, dia beristigfar. Dia terfikir apa yang dia
rancangkan tadi, untuk bertekak dengan ayahnya, untuk mencari siapa yang salah
dan siapa yang betul..’argh, apa aku ni’, perlahan Ain menyesali dirinya.
‘Mereka itu orang tuaku, sudah pasti
mereka akan bimbang akan aku, lagi pula aku kan anak bongsu mereka,
satu-satunya yang masih belum berumah tangga, betullah cakap ayah menjaga lembu
sekandang lebih senang daripada anak perempuan seorang. Ok, bila sampai di
rumah nanti, aku nak dengar saja apa kata mereka, dan aku akan cakap yang
sebenarnya kalau masih mereka tidak berpuas hati’, Ain bermonolong sendirian.
Perjalanan tersebut diisi dengan istighfar agar hatinya nanti tidak bertindak
melulu sehingga boleh menyebabkan ibu dan ayahnya terguris.
Seperti yang dijangka, setibanya di
rumah, ibu dan ayahnya menunggu di sofa, Ain masuk ke dalam rumah lalu duduk
bersebelahan ibunya. Ayahnya mula berbicara akan kerisauan mereka, tiba-tiba
Ain terdengar yang ayahnya sudah menelefon ke rumah ust berkenaan dan isteri
ust mengatakan di rumahnya tiada orang yang bernama Ain Syahirah. Ain mula
berbicara dengan nada rendah sambil memintal tali beg tangannya.
‘Ain
dah bagitahu ibu yang di rumah ust itu tiada line telefon. Berkenaan tiada orang bernama Ain Syahirah di rumah ust
tu, memang patut isteri ust menjawab berkenaan keran itu rumahnya, maka memang
tiada yang bernama Ain Syahirah. Kalau ayah bertanya, ada jamuan kat rumah ust
itu pasti dia cakap ada. Isteri ust itu tidak mengenali nama kami, ramai yang
datang tadi, mana mungkin dia ingat nama semuanya. Perihal telefon pula, di
kawasan rumah ust memang tiada line kecuali line telefon rumah. Telefon bimbit
Ain memang tiada line langsung dan kadang-kadang sahaja telefon kawan Ain ada
line, itupun kalau buat panggilan pasti tersekat-sekat suara. Ain minta maaf
sebab Ain tak bagitahu yang jamuan sampai malam’, Ain Syahirah diam seribu
bahasa menanti balasan daripada ayahnya. Namun hanya penantian sepi, ayah Ain
tidak berkata apa-apa, lalu Ain minta diri ke dalam bilik bagi membersihkan
diri.
Pengalaman Ain hari ini membuatkan
dirinya lebih berfikir jauh sekiranya mahu membuat sesuatu keputusan. Ain
berkata pada dirinya, saat ini sahaja orang tuamu ambil berat apa yang kamu
lakukan, tetapi apabila saat mereka dijemput olehNya, siapa lagi yang akan
risaukan kamu, pasti saat itu kau akan merindui detik ini. Hati Ain lebih tenang
kerana menyelesaikan masalah dengan cara Islam anjurkan. Tiada rasa dendam,
tiada rasa kecewa kerana semuanya mengikut syariatNya.
Berfikir
positif dalam setiap keadaan, pasti ada hikmah yang tidak kita ketahui..
Apa alasanmu bersahabat denganku?
Suatu
ketika aku dan kau punya kisah untuk dicerita. Saat seperti itu aku tunggu di
dalam rumah keagunganNya. Kau dan aku petah berkata-kata, itu ini bagaikan
tiada penghujungnya. Seketika kita ketawa, bagaikan hari-hari kita indah dan
cerah. Tiada sesiapa mampu menandingi kisah kita berdua sehinggakan ada mata
yang dengki melihat keakraban kita. Aku tunggu sampai kau datang jua, begitulah
hari-hari berlalu saat kita masih mesra berdua. Apa alasanmu melambung aku
tinggi di awan sehingga saat aku jatuh sangat perit aku rasakan. Di mana janji
setia bak isi dan kuku dahulu? Di mana Jauhari yang mengenal Manikam dahulu? Di
mana? Di mana?
Jauh
aku merantau, jauh aku pergi. Jika tidak memuaskan hati, aku berlari, tersadung
di sana sini. Aku buang derita aku, tujuan aku hanya satu, mencari kembali apa
yang kita ada dahulu. Aku buang rasa sakitku, aku gagahi juga walau lelah,
walau payah walau kadang-kadang aku hilang arah. aku cuba selidiki, apa salahku
sehingga kita terpaksa berjauhan begini, aku dan kau tidak bertemu kulit lagi.
Aku dan kau tidak pernah melihat bayang-bayang lagi.
Saat indah kita, aku usahakan agar kau gembira, cerita
suka, cerita ‘duka’, aku setia mendengar. Saat dirimu tersepit aku sanggup
gadaikan apa yang aku ada, aku sanggup kehilangan apa-apa, aku sanggup tidak
dikenali siapa-siapa kerana mengharapkan kau mendapat yang terbaik dariku. Walau
sepatah masalahku tidak aku suarakan padamu kerana aku tidak mahu
membebankanmu. Aku simpan dilubuk hati, aku pendam sendiri. Semuanya kerana
kau, kau sahabat yang ku kasihi.
Sekarang aku mengerti, mungkin aku terlupa dengan ujian
Illahi. Kau pergi, aku sendiri di sini. Aku cuba singkapi, apa maksud semua
ini? Ya, semua yang pernah kita lalui. Aku, kau dan kisah kita. Walau kau punya
teman setia baru, mungkin nanti saatnya kau rindukan kesetiaanku. Tika itu,
jika kau mencari aku, aku tetap di sini, aku masih orang yang pernah kau
kenali, aku masih seperti dulu, aku setia menunggu kelibatmu. Cuma satu
pertanyaanku, apa alasanmu bersahabat denganku?
Sabtu, 23 Februari 2013
KALAU DAH CUKUP, MAKA CUKUPLAH
Suatu ketika aku disapa oleh seseorang yang punya masalah peribadi. Dirinya tidak ku kenali tetapi diriku dikenali sebagai pendengar masalah paling setia. Dia mulakan bicara dengan penuh sayu, matanya yang layu sungguh menyayatkan hatiku. Ku kuatkan hati, tabah mendengar apa yang berona dihatinya. Setelah kuamati aku punya satu penyelesaian buat dia.
Katanya dia berketurunan tidak berada, ayahnya cuma seorang penoreh getah, ibunya pula suri rumah. Bicaranya dari awal sudah menunjukkan dia punya pandangan tersendiri terhadap keadaan keluarganya. Katanya lagi, ketika hujan, semua adik beradik akan berlari mendapatkan bekas besar, baldi mahupun gayung. Air hujan yang turun mencurah dari lubang-lubang kecil atap rumah membuatkan banyak bekas yang diperlukan.
Katanya lagi, sekiranya ayah lagi menoreh dan bukan minggu ayah jual hasil getahnya, maka mereka sekeluarga akan makan hanya ikan kering, sayurnya dikutip di tepi kawasan rumah. Kadang-kadang hanya berlaukkan kepala ikan sahaja, itupun yang kemarin punya. Katanya lagi, pakaian mereka hanya apa adanya. Ayah mereka sangat ‘kedekut’ untuk belanjakan wang. Dia dan adik-adik semakin menganggap ayahnya tangkai jering.
Katanya lagi, tidur hanya di atas lantai berlapikkan tikar mengkuang. Tidurnya pula tiada ‘privacy’ diluar saja bersama yang lain.
Aku mendengar penuh setia, hanya kadang-kadang aku mengangguk tanda aku tidak lalai dengan duniaku, seketika aku ubah posisi, ke kiri ke kanan bagi membetulkan tulang-tulang dan urat-uratku agar tidak tersepit untuk bekerja. Usai dia habis cerita, aku mulakan bicaraku dengan nada yang sederhana.
Kataku, “Alhamdulillah”.. dia bertuah kerana masih ada segala-galanya. Masih ada ayah, masih punya ibu dan dimeriahkan pula dengan adik beradik. Dia bertuah… kataku, walaupun rumah dia bocor, lauk dia hanya ikan kering, ayah dia cuma penoreh getah, ibu dia cuma suri rumah, ayah dia tangkai jering, tidur dia hanya di mengkuang kering tetapi aku yakin kalau dia ada iman pasti dia akan gembira dengan kehidupan.
Sahabat…. Apa bedanya kau dan aku?? Hanya satu, tiada beribu, hanya IMANmu dan IMANku. Kalau rumah bocor itu dihuni penghuni yang beriman, pasti akan dirasakan indah. Kalau ikan kering itu dimakan orang beriman, pasti akan menjadi ikan yang paling sedap, kalau lantai itu ditiduri oleh orang yang beriman, pasti itulah tempat paling indah dalam kehidupan. Kalaulah ayah itu ayah kepada orang beriman, pasti anaknyalah orang yang paling bahagia punya ayah yang penyayang.. rumah tanpa Islam, itulah rumah paling miskin..fikir-fikirkanlah sahabat..
Langgan:
Catatan (Atom)